
BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) digesa menarik balik segala tuduhan terhadap Pakatan Harapan (PH) berhubung isu institusi diraja, adat dan agama Islam yang dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Majlis Pimpinan Negeri PH berkata, perkembangan krisis politik dan adat yang berlaku ketika ini seharusnya membuka ruang kepada rakyat menilai semula dakwaan kononnya institusi istana dikuasai DAP, urusan adat dicampuri pimpinan PH serta kedudukan agama Islam terancam di bawah pentadbiran terdahulu.
“Jika pendirian mempertahankan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kini menjadi komitmen kerajaan, mengapakah pendirian yang sama ketika dibawa oleh PH Negeri Sembilan dahulu dipersoalkan dan diserang?” menurut kenyataan itu.

PH Negeri Sembilan turut mengambil maklum kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berhubung kedudukan Tuanku Muhriz serta tanggungjawab mempertahankan institusi diraja yang disifatkan selari dengan prinsip diperjuangkan gabungan itu sejak awal kemelut politik dan adat berkenaan.
Bagaimanapun, gabungan itu berpandangan rakyat berhak mendapatkan penjelasan mengenai tindakan serta pendirian Menteri Besar ketika kemelut berkenaan berlaku sebelum ini, termasuk persoalan berkaitan Proklamasi yang pernah menjadi pertikaian.
Sehubungan itu, PH Negeri Sembilan menegaskan BN dan PN perlu mengemukakan bukti secara terbuka sekiranya mempunyai asas terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada gabungan berkenaan.
Mereka turut menggesa tuduhan yang tidak dapat dibuktikan ditarik balik dan diperbetulkan kerana dakwaan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta maruah pihak yang dituduh.



