
MIRI – Masalah liputan rangkaian telefon bimbit yang lemah di dalam bangunan sekitar kawasan komersial Marina dan Miri Times Square mendapat perhatian Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man yang mahu penyelesaian jangka panjang dilaksanakan bagi memastikan kemudahan komunikasi lebih stabil kepada orang ramai dan peniaga.
Beliau berkata pemeriksaan awal bersama pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di kedua-dua kawasan berkenaan semalam mendapati kekuatan isyarat telefon bimbit berbeza mengikut lokasi dan penyedia rangkaian, dengan beberapa kawasan di dalam bangunan mengalami liputan yang lemah.
Katanya, struktur bangunan yang menghalang penerimaan isyarat serta jarak dan keupayaan peralatan rangkaian telekomunikasi berhampiran mungkin menjadi antara faktor yang menyumbang kepada masalah berkenaan.
“Keputusan ujian ini akan membantu MCMC dan syarikat penyedia rangkaian mengenal pasti kawasan yang mengalami masalah liputan serta langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau , masalah itu bukan sahaja menjejaskan kemudahan komunikasi harian orang ramai, malah turut memberi kesan kepada kelancaran operasi perniagaan, khususnya apabila pekerja menghadapi kesukaran membuat panggilan atau menghantar mesej menggunakan telefon bimbit ketika berada di dalam premis.
Beliau berkata pelanggan juga berdepan kesukaran menyelesaikan pembayaran menggunakan kod QR apabila telefon bimbit gagal memperoleh sambungan data yang stabil, sekali gus menyebabkan kelewatan urusan pembayaran di kaunter dan menjejaskan pengalaman pelanggan.
Katanya, Marina dan Miri Times Square merupakan antara kawasan pembangunan komersial baharu di pusat bandar Miri yang menjadi tumpuan orang ramai, justeru kemudahan komunikasi yang boleh diharapkan perlu tersedia kepada pengunjung, pekerja dan pemilik perniagaan.
“Adalah tidak wajar masalah liputan rangkaian di dalam bangunan terus menyusahkan peniaga dan orang ramai selama bertahun-tahun, terutama di kawasan komersial yang pesat membangun,” katanya.
Sehubungan itu, beliau akan meneruskan kerjasama dengan MCMC, syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi serta pemilik dan pengurusan premis terlibat bagi mengenal pasti penyelesaian yang berkesan dan berkekalan.
Antara langkah yang akan dinilai ialah pemasangan sistem rangkaian selular dalaman khusus bagi meningkatkan penerimaan isyarat di dalam bangunan yang tidak mendapat liputan memuaskan daripada rangkaian luar.
Beliau turut menggalakkan penduduk dan pengusaha perniagaan di Miri memuat turun aplikasi MCMC NEXUS bagi menjalankan ujian sambungan internet di lokasi yang mengalami masalah rangkaian perlahan atau tidak stabil.
Katanya, keputusan ujian yang dikongsi dengan MCMC dapat membantu suruhanjaya itu memantau prestasi rangkaian, mengenal pasti lokasi yang kerap mengalami masalah sambungan serta bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan mutu liputan.
Choon Man berkata kemudahan komunikasi digital yang stabil merupakan antara infrastruktur asas penting dalam menyokong pembangunan bandar moden, selain membantu meningkatkan daya saing perniagaan tempatan dan keselesaan penduduk serta pengunjung.
Beliau memberi jaminan akan terus mendesak supaya penambahbaikan dilaksanakan agar perkembangan pesat Miri turut disusuli peningkatan kualiti kemudahan dan perkhidmatan yang dinikmati masyarakat setempat.


