
PUSA – Masjid Baitus Salam, Kampung Tambak di sini menerima kemudahan lebih baik menerusi projek naik taraf bernilai RM170,000 yang siap dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan penduduk menunaikan ibadah.
Penyerahan siap kerja projek itu disempurnakan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli dalam satu majlis di masjid berkenaan pada Sabtu.
Shafizan berkata, projek berkenaan merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak dalam usaha menyediakan kemudahan keagamaan yang lebih selesa kepada masyarakat setempat.
“Saya berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh penduduk, selain menggalakkan lebih ramai masyarakat mengimarahkan masjid melalui aktiviti ibadah dan keagamaan.
“Penduduk juga perlu bersama-sama menjaga kebersihan serta penyelenggaraan masjid supaya kemudahan ini dapat digunakan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa enam unit penghawa dingin dirancang untuk dipasang bagi meningkatkan keselesaan kira-kira 200 jemaah yang mampu ditampung masjid berkenaan.
Dalam pada itu, beliau mengajak masyarakat mengekalkan perpaduan dan semangat kerjasama bagi memastikan pembangunan kampung dapat dilaksanakan dengan sokongan semua pihak.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Baitus Salam, Musa Gapor berkata, kerja naik taraf itu amat bermakna kepada penduduk memandangkan masjid berkenaan telah lama dibina dan memerlukan penambahbaikan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Batang Lupar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro atas sokongan serta bantuan sehingga projek berkenaan berjaya direalisasikan.
Turut hadir, Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Beting Maro, Datuk Razaili Gapor; wakil Pegawai Daerah Pusa, Anthony Peter Mihe Noel; Penghulu Zon Pusa, Bujang Beni serta Penghulu Kampung Semarang, Spinang dan Batang Maro, Musa Zin.



