
PAKATAN Harapan Negeri Sembilan (PHNS) mendesak Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik balik tuduhan kononnya institusi istana dikuasai DAP, urusan adat dicampuri pimpinan gabungan itu serta kedudukan agama Islam terancam ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan (PHNS) berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dan perlu diperbetulkan secara terbuka bagi mengelakkan persepsi buruk terhadap gabungan itu terus berlarutan.
“PHNS tidak pernah menjadikan institusi diraja, adat dan agama Islam sebagai alat untuk meraih keuntungan politik.
“Kami percaya bahawa institusi-institusi tersebut wajib dipelihara dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab, bukan dijadikan bahan untuk mencetuskan ketakutan atau kebencian rakyat terhadap pihak lain,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

PHNS turut menegaskan tuduhan melibatkan kedaulatan Raja Pemerintah, institusi adat dan kesucian agama Islam bukan perkara kecil kerana boleh memberi kesan terhadap keyakinan rakyat, keharmonian masyarakat serta maruah pihak yang dituduh.
“Sekiranya BN-PN mempunyai bukti terhadap dakwaan yang pernah dibuat, kemukakanlah secara terbuka. Jika tidak, adalah wajar tuduhan tersebut ditarik balik dan diperbetulkan,” katanya.
PHNS turut kesal apabila pertukaran sokongan politik yang membawa kepada perubahan kerajaan disertai usaha mempertikaikan rekod serta pencapaian pentadbiran terdahulu di bawah kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Katanya, sepanjang pentadbiran PHNS, Negeri Sembilan mencatat pelbagai pencapaian dalam pengurusan kewangan, peningkatan hasil, pengukuhan rizab negeri, kemasukan pelaburan serta pelaksanaan program kebajikan dan pembangunan rakyat.

Pencapaian itu, katanya, dibangunkan menerusi usaha pentadbiran kerajaan yang turut melibatkan rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan tidak seharusnya dinafikan hanya kerana berlaku perubahan kuasa politik.
“Perubahan kerajaan adalah sebahagian daripada proses demokrasi. Namun, perubahan kuasa tidak seharusnya mengubah fakta, memadam pencapaian atau menghalalkan tuduhan tanpa bukti,” menurut kenyataan itu.
PHNS menegaskan akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang bertanggungjawab dengan mempertahankan kedaulatan institusi diraja, menghormati adat dan Perlembagaan serta memperjuangkan dasar dan pentadbiran yang mengutamakan kebajikan rakyat.
Gabungan itu turut menyeru supaya kemelut politik dan adat di negeri berkenaan diselesaikan berlandaskan kebenaran, integriti dan pertanggungjawaban, bukannya tuduhan tidak berasas atau percaturan politik berpanjangan.



