
SHAH ALAM – Pemimpin politik diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan sensitiviti agama bagi mengelakkan tindakan atau kata-kata mereka menyinggung perasaan penganut agama lain.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua pihak termasuk dirinya perlu menjaga tutur kata apabila menyentuh perkara sensitif, selain segera memperbetulkan keadaan sekiranya berlaku kesilapan.
Menurutnya, sensitiviti agama perlu dihormati tanpa mengira pihak mana yang terlibat bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Sebarang benda sensitif, tidak kira mana pihak, kena jaga. Termasuk saya sendiri, kadang-kadang kita keluar perkataan-perkataan kena lebih jaga.
“Kalau tersasar, kita kena cepat membetulkan keadaan itu. Itu yang kita lihat berlaku sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Konvensyen Nasional 2026 Amanah di Dewan Raja Muda Musa, di sini, pada Sabtu.
Mohamad menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mengenai arahan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu.
Sebelum ini, Khoo memohon maaf secara terbuka susulan hantaran berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika waktu solat Jumaat.
Beliau mengakui kelemahan dalam penyampaian pandangannya, khususnya dari segi pemilihan kata dan nada, sehingga menimbulkan salah faham serta menyinggung perasaan masyarakat, terutama umat Islam.
Bagaimanapun, Mohamad berpandangan reaksi terhadap isu sensitif melibatkan pemimpin politik daripada parti berbeza dilihat tidak seimbang, termasuk apabila kenyataan pemimpin Pas mengkritik pihak lain.
“Apabila seorang pimpinan Pas mengkritik sahabat sebegitu rupa, ia bergolak sekejap sahaja.
“Selepas itu macam orang sudah lupa, padahal kata-kata itu lebih dahsyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad mendakwa, kecaman terhadap Khoo berbanding reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh sebelum ini menunjukkan isu sensitiviti agama turut dipengaruhi kepentingan politik.
Beliau merujuk kenyataan Nik Muhammad Zawawi yang mengaitkan sahabat Rasulullah SAW, Abu Bakar as-Siddiq dengan gelaran bapa ceti dan Umar al-Khattab dengan perlakuan zina sebelum memeluk Islam, yang menurutnya tidak menerima kecaman setara.
Khalid berkata, keadaan itu menunjukkan isu sensitiviti agama berpotensi dijadikan modal politik untuk meraih sokongan, bukannya dibangkitkan atas dasar kejujuran dan keikhlasan.
“Bila mereka cakap semua diam, tak ada orang kecam. Sedangkan apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh itu jauh lebih dahsyat.
“Ini yang menjadi masalah dan kita harap rakyat Malaysia khususnya orang Melayulah nampak benda ini adalah mainan politik, bukan kejujuran, bukan ikhlas. Tetapi semata-mata untuk dapatkan ‘political point’,” katanya.



