JBPM Kedah
SIK – Dua kanak-kanak masing-masing berusia setahun empat bulan dan tiga tahun meninggal dunia selepas bangunan yang dijadikan rumah kediaman mereka terbakar di Kampung Teloi Tua, di sini, awal pagi tadi.
Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik yang tiba di lokasi kejadian pada jam 6.27 pagi mendapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan rumah kelas A berukuran 20 x 10 kaki dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.
Menurut laporan operasi, anggota bomba bertindak melaksanakan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos dengan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, dua mangsa kanak-kanak ditemukan di atas katil dan disahkan meninggal dunia.
“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terdekat serta agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja overhaul di lokasi bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sumber/Visual: IKBN dan Jbpm Kedah



