
KUALA KANGSAR – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dari sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar yang dilaporkan hilang pada Jumaat petang ditemukan selamat di Taiping kira-kira empat jam selepas laporan kehilangan dibuat kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan pelajar Tingkatan Satu itu daripada ibunya pada jam 6.07 petang selepas wanita berkenaan dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai kejadian tersebut.
Beliau berkata, sejurus menerima laporan, polis menggerakkan operasi mengesan pelajar berkenaan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, selain kerjasama pihak sekolah dan ahli keluarga.
Usaha pencarian itu membuahkan hasil apabila pelajar terbabit berjaya ditemukan di daerah Taiping kira-kira jam 10 malam hasil maklumat orang awam.
“Pelajar berkenaan kemudian diserahkan kepada ibu bapanya dalam keadaan baik dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Heisham menegaskan kejadian kehilangan pelajar terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan kes kematian seorang pelajar sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar yang dilaporkan pada 18 November lalu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan.


