
KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka kekal stabil dalam jangka pendek meskipun berdepan perkembangan global semasa, disokong asas ekonomi domestik yang kukuh, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berterusan serta komitmen kerajaan melaksanakan reformasi struktur.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi ringgit sejak awal tahun hingga 16 November menunjukkan pergerakan yang agak stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang rakan dagang utama.
Katanya, ringgit mencatatkan penyusutan 0.8 peratus berbanding dolar AS, manakala Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) merekodkan penurunan 0.5 peratus.
“Melangkah ke hadapan, pergerakan kadar pertukaran dijangka terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran.
“Bagaimanapun, BNM akan terus memantau perkembangan global dengan teliti dan komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi secara teratur,” katanya pada sidang media berhubung keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku ketiga 2026 (S3 2026), pada Rabu.

Mengulas sumbangan bersih aliran perdagangan dan pelaburan terhadap ringgit, Abdul Rasheed berkata aliran masuk dan keluar pelaburan merupakan sebahagian daripada kitaran pelaburan biasa.
Katanya, Malaysia turut menggalakkan pelabur domestik yang mempunyai pelaburan di luar negara untuk membawa pulang keuntungan dan pendapatan mereka bagi menyumbang kepada imbangan pembayaran negara.
Berdasarkan data HSBC, Malaysia mencatatkan aliran masuk FDI kira-kira AS$45 bilion, berbanding anggaran aliran keluar pelaburan langsung sebanyak AS$30 bilion pada 2026.
Perangkaan itu menunjukkan sumbangan bersih aliran perdagangan dan pelaburan terhadap ringgit lebih kecil berbanding gambaran yang mungkin ditunjukkan oleh angka utama pertumbuhan ekonomi.
Abdul Rasheed berkata, komitmen kerajaan terhadap reformasi struktur turut membantu meningkatkan sentimen pelabur, manakala pasaran kewangan negara terus mencatatkan aliran dua hala yang sihat.
Beliau berkata, purata jumlah dagangan harian pasaran pertukaran asing meningkat kepada AS$21.1 bilion setakat 17 November, berbanding AS$19.4 bilion pada 2025.
Jumlah itu turut meningkat berbanding AS$17 bilion pada 2024 dan AS$15 bilion pada 2023.
“Oleh itu, jumlah dagangan semakin meningkat. Ini menunjukkan aliran dua hala yang sihat dalam pasaran itu sendiri. Perkara ini merupakan antara faktor yang menyokong ringgit,” katanya.


