
KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, disokong prestasi eksport yang kukuh serta permintaan domestik yang kekal berdaya tahan.
Pertumbuhan itu menjadikan ekonomi negara berkembang 5.6 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa pertumbuhan ekonomi bagi keseluruhan 2026 mampu melepasi lima peratus.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prestasi eksport yang mantap dan permintaan dalam negeri menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.6 peratus pada sembilan bulan pertama tahun 2026 berikutan prestasi eksport yang mantap dan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi lima peratus pada tahun 2026,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi ekonomi dan kewangan bagi suku ketiga 2026 di Sasana Kijang, di sini, hari ini.
Menurut BNM, pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga bagaimanapun sedikit sederhana berbanding enam peratus yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini.
“Prestasi eksport terus mengukuh, didorong permintaan global terhadap produk berkaitan teknologi, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E), selain produk bukan E&E,” katanya.
Katanya lagi, permintaan domestik pula terus mendapat sokongan daripada perbelanjaan isi rumah yang disumbangkan keadaan pasaran pekerjaan menggalakkan serta pertumbuhan pendapatan yang stabil.
“Aktiviti pelaburan turut mencatatkan perkembangan positif, terutama menerusi perbelanjaan bagi struktur, jentera dan peralatan.
“Mengikut sektor, perkilangan dan perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama pertumbuhan, dengan sektor perkilangan berkembang lebih pantas susulan peningkatan permintaan global terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi.” ujarnya.
Sektor pertanian turut menunjukkan peningkatan pertumbuhan berikutan hasil minyak sawit yang lebih tinggi di seluruh negara.
Bagaimanapun, sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup susulan pengeluaran minyak dan gas asli yang lebih rendah akibat aktiviti penyelenggaraan berjadual.
Dalam perkembangan harga, inflasi keseluruhan kekal pada 1.9 peratus pada suku ketiga, manakala inflasi teras menurun kepada 1.7 peratus berbanding 1.9 peratus pada suku sebelumnya.
BNM menjelaskan peningkatan inflasi keseluruhan terutama dipengaruhi kenaikan caj elektrik susulan pelarasan surcaj bahan api, namun kesannya sebahagiannya diimbangi inflasi bahan api yang lebih rendah selepas pelaksanaan program BUDI Diesel pada Julai lalu.
Sementara itu, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat 6.3 peratus pada suku ketiga berbanding 6.4 peratus pada suku sebelumnya.
Pinjaman perniagaan terkumpul pula meningkat kepada 8.8 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku kedua, terutama didorong peningkatan keperluan modal kerja syarikat.
BNM menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi akan terus disokong permintaan global terhadap produk berkaitan teknologi dan komoditi utama, selain perkembangan sektor pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Aktiviti pelaburan juga dijangka terus berkembang, disokong kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam serta pelaksanaan pelaburan yang sudah diluluskan.
Perbelanjaan isi rumah pula dijangka kekal kukuh berikutan keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan stabil serta langkah dasar menerusi Belanjawan 2027.
Bagi 2026, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5 hingga 2.5 peratus, dengan tekanan harga dijangka kekal terkawal meskipun berpotensi meningkat secara beransur-ansur menjelang akhir tahun ini dan awal 2027.


