
KIMANIS – Lima individu cedera parah manakala 16 lagi mengalami kecederaan ringan selepas sebuah bas persiaran membawa 21 penumpang terbabas di Jalan Bukit Kimanis-Keningau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PKPgB Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 tengah hari sebelum lapan anggota dari BBP Kimanis dan BBP Papar dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Nelson, ketika pasukan bomba tiba pada jam 1.58 tengah hari, lima mangsa yang tersepit di dalam bas sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Bas yang membawa kesemua penumpang warga Malaysia itu dilaporkan dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Wilayah Persekutuan Labuan.
“Lima mangsa yang cedera parah terdiri daripada dua lelaki berusia 64 dan 71 tahun serta tiga wanita berusia antara 60 hingga 66 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, mangsa lelaki berusia 64 tahun mengalami kecederaan di kepala, dada dan bahu, manakala seorang lagi berusia 71 tahun mengalami patah tangan dan kaki serta bengkak pada muka.
“Tiga mangsa wanita pula mengalami kecederaan di bahagian dada, kepala dan pipi, selain patah kaki serta jari.
“Seramai 16 mangsa lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa yang cedera parah kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.
Operasi menyelamat yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya dikawal pada jam 2.42 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.55 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian.



