Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Petronas memperkukuh strategi memaksimumkan pengeluaran dari medan minyak dan gas matang menerusi penggunaan data, teknologi serta kerjasama lebih erat antara pasukan teknikal bagi meningkatkan pemulihan sumber petroleum.
Naib Presiden Kanan Malaysia Assets merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Carigali, Hazli Sham Kassim berkata, usaha itu memerlukan integrasi kepakaran geosains, kejuruteraan dan operasi bagi memastikan setiap keputusan pembangunan dibuat berdasarkan pemahaman menyeluruh terhadap keadaan takungan.
Katanya, semua data yang tersedia perlu dimanfaatkan untuk memahami keadaan medan dengan lebih mendalam, termasuk menentukan lokasi sesuai bagi penggerudian telaga pembangunan dan telaga tambahan.
“Pasukan juga perlu tangkas dan bersedia membuat penyesuaian sepanjang proses pembangunan kerana model atau andaian awal mungkin tidak tepat sepenuhnya berbanding keadaan sebenar di bawah permukaan.
“Untuk mendapatkan hasil terbaik daripada aset matang, kita perlu mempunyai tenaga kerja paling berkemahiran dan integrasi yang mantap antara geosaintis dengan pasukan lain, termasuk mereka yang mengendalikan kemudahan pengeluaran,” katanya lagi ketika menjadi panel sesi pleno eksekutif pada Persidangan dan Pameran Geosains Petroleum Asia 2026 di sini, lapor Berita Harian.
Hazli berkata, kecekapan kos turut menjadi keutamaan, justeru kerjasama dengan rakan penyedia perkhidmatan penting bagi memastikan peluang pembangunan dilaksanakan pada nilai terbaik.
Dalam perkembangan berkaitan, Petronas berhasrat memendekkan tempoh lazim industri untuk mencapai pengeluaran pertama minyak atau gas daripada sekitar 100 bulan kepada 50 bulan menerusi penggunaan teknologi dan penambahbaikan aliran kerja.
Katanya, peranan geosaintis tidak terhenti selepas penemuan sumber petroleum dibuat, sebaliknya kepakaran mereka diperlukan untuk membantu industri memaksimumkan pengeluaran sehingga ke tahap pemulihan terakhir.
Tambahnya, kemajuan teknologi turut membuka peluang meneroka sumber tenaga lain, termasuk geoterma yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya di Malaysia.
“Walaupun potensi geoterma negara dilihat agak kecil, penggunaan teknologi berupaya membantu mengenal pasti kaedah untuk memanfaatkan sumber tenaga semula jadi berkenaan,” katanya.


