
SUNGAI SIPUT – Dua penduduk maut dalam kejadian dipercayai diserang harimau di kawasan hutan Sungai Siput dalam tempoh hampir dua bulan, susulan kejadian terbaharu yang mengorbankan seorang lelaki berusia 65 tahun di Lata Serai, Kampung Bawong, pada Rabu.
Mangsa, Ngah bin Itam, yang merupakan seorang duda dan bapa kepada lima orang anak, dipercayai diserang haiwan liar berkenaan ketika mencari buluh di kawasan hutan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, beliau menerima berita mengenai kejadian menyediakan itu daripada Ketua Balai Polis Lintang.
“Sebelum ini, pada 21 September 2026, seorang penduduk Kampung Takong, Pos Perwor, turut maut selepas dipercayai diserang harimau ketika mencari rotan di kawasan hutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas kejadian terbaharu itu, Zolkafly merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada polis, pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) serta penduduk setempat atas bantuan dan kerjasama yang diberikan.
Dalam masa sama, beliau berharap pemantauan dan langkah keselamatan di kawasan berisiko dapat dipertingkatkan segera bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Penduduk Kampung Bawong dan kawasan berhampiran turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, menjauhi kawasan kejadian serta mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan masing-masing.



