
SHAH ALAM – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di Malaysia berkuat kuasa Rabu.
Menerusi kenyataan di laman sesawang rasminya, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat susulan langkah kerajaan Malaysia mengambil alih urusan pendaftaran komuniti terbabit.
UNHCR berkata, pihaknya kini meneruskan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia berhubung pelan hala tuju peralihan yang dicadangkan bagi memastikan kesinambungan perlindungan kepada pelarian dan pemohon suaka di negara ini.
“Walaupun aktiviti pendaftaran dan dokumentasi dihentikan, operasi UNHCR di Malaysia tidak ditutup.
“Kami bersama rakan kerjasama akan terus menjalankan aktiviti lain termasuk penempatan semula dan memberikan sokongan kepada pelarian serta pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak,” katanya.

Pengumuman itu menyusul dua hari selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan mengambil alih peranan pendaftaran dan pengurusan data komuniti pelarian secara berperingkat melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Pada 16 November lalu, Saifuddin berkata, pengambilalihan itu dilaksanakan menerusi sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan kerajaan memiliki rekod data yang sahih dan menyeluruh tanpa bergantung kepada entiti luar.
Mengulas pelaksanaan sistem baharu itu, beliau memaklumkan Fasa 1 DPP yang bermula sejak Januari lalu di depot tahanan imigresen merekodkan seramai 4,008 tahanan sebagai individu berpotensi diberikan perlindungan sementara.
Kesemua individu berkenaan perlu menjalani tapisan keselamatan ketat serta proses Penentuan Status Pelarian (PSP) sebelum sebarang dokumen perlindungan sementara dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.


