Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Nilai ringgit terus menunjukkan prestasi relatif stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang rakan dagangan utama pada suku ketiga 2026.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit hanya menyusut 0.2 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga 2026, jauh lebih baik berbanding penurunan 0.8 peratus pada suku kedua lalu.
Bagi tempoh awal tahun hingga 16 November 2026 pula, ringgit mencatatkan penyusutan 0.8 peratus berbanding dolar AS, manakala Kadar Pertukaran Efektif Nominal susut 0.5 peratus.
“Prestasi ringgit terus disokong prospek ekonomi Malaysia yang positif, dipacu pertumbuhan ekonomi berdaya tahan serta komitmen kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan pembaharuan struktur,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar Suku Ketiga 2026 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, pergerakan kadar pertukaran ringgit pada masa hadapan dijangka terus dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan luaran.
Sehubungan itu, BNM akan terus memantau perkembangan ekonomi dan kewangan global dengan teliti serta komited memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi secara teratur.



