
KOTA KINABALU – Kewujudan penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu hanyalah kemudahan asas untuk umat Islam menunaikan solat dan tidak bermaksud penganut agama lain dinafikan hak mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, pemasangan penanda berkenaan memerlukan pengesahan pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau jabatan agama berkaitan bagi memastikan ketepatan arah kiblat.
Katanya, kewujudan kemudahan itu tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tindakan mengutamakan satu agama sehingga menafikan hak penganut agama lain.
“Tiada istilah keistimewaan eksklusif kepada mana-mana agama di Gunung Kinabalu. Sesiapa sahaja boleh melakukan aktiviti keagamaan bergantung kepada keperluan serta kelulusan pihak berautoriti, iaitu Taman-Taman Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Khamis.
Tambahnya, penganut agama lain termasuk Kristian, Hindu dan Buddha yang memerlukan kemudahan tertentu turut dialu-alukan mengemukakan cadangan kepada pihak pengurusan Taman-Taman Sabah untuk dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian serta peraturan taman.
Mengulas lanjut, beliau berkata prinsip keadilan tidak bermaksud semua agama perlu diberikan kemudahan yang sama, sebaliknya setiap pengunjung perlu diberikan penghormatan dan layanan yang saksama.
“Orang ramai tidak harus keliru antara menyediakan kemudahan untuk satu agama dengan memberikan keistimewaan sehingga menafikan hak agama lain. Kedua-duanya adalah perkara berbeza.
“Penanda kiblat hanyalah petunjuk arah dan kemudahan bukannya satu kewajipan,” kongsinya.
Sementara itu, beliau menjelaskan aspek keselamatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pendakian kekal menjadi keutamaan serta tidak boleh dikompromi demi sebarang aktiviti keagamaan atau kebudayaan.
“Gunung Kinabalu sentiasa terbuka kepada semua lapisan masyarakat, manakala tanggungjawab menjaga keselamatan dan kelestariannya perlu dipikul bersama,” ujarnya.



