
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Perancis bersetuju meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik dalam usaha memperluas kerjasama merangkumi perdagangan, pelaburan, industri pertahanan serta teknologi tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan dua hala bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
“Ini merupakan lawatan pertama Presiden Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan. Sambutan ini cukup bermakna tatkala ia berlangsung di mercu bersejarah berusia lebih 100 tahun, yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kemerdekaan negara.
“Usai istiadat pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan, saya dan Presiden Macron mengadakan pertemuan empat mata selama hampir satu jam. Kami bicarakan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Perancis, di samping bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serta isu lain yang menyentuh kepentingan bersama,” katanya selepas menyambut ketibaan pemimpin itu menerusi istiadat rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad hari ini.
Menurut Anwar, peningkatan hubungan kepada Perkongsian Strategik itu turut menjadi mercu tanda penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun depan.
“Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi tinggi, kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, mineral kritikal, peralihan tenaga serta pendidikan dan pembangunan bakat, di samping mempererat hubungan kebudayaan menerusi pertukaran kesusasteraan dan pemikiran falsafah, termasuk warisan intelektual tokoh tersohor Perancis, Victor Hugo.
“Malaysia juga mengalu-alukan lebih banyak pelaburan berkualiti daripada Perancis, khususnya dalam sektor berpotensi tinggi yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan daya saing negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat,” katanya.
Selain agenda ekonomi dan perdagangan, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa, khususnya tragedi kemanusiaan di Palestin serta konflik di Ukraine.
Mereka menegaskan keperluan mendesak untuk menamatkan konflik, menegakkan keadilan dan menghormati undang-undang antarabangsa.
Anwar menaruh keyakinan hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dan Perancis akan terus diperkukuh, sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemakmuran kedua-dua negara.



