
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri supaya memperkukuh penyelarasan data serta pelaksanaan program pembasmian kemiskinan bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran secara lebih berkesan.
Ketua Menteri , Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kelemahan penyelarasan antara agensi yang melaksanakan program mengikut perancangan masing-masing perlu ditangani segera bagi mengelakkan pertindihan bantuan, ketirisan maklumat serta birokrasi yang membebankan rakyat.
“Walaupun setiap agensi mempunyai mandat tersendiri, perkongsian data penerima, maklumat bantuan dan pelaporan keberhasilan intervensi perlu dipertingkatkan bagi memastikan agenda pembasmian kemiskinan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Tanggungjawab penyelarasan ini juga telah saya mandatkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menyelaras agenda pembasmian kemiskinan negeri. Namun demikian, kerjasama menyeluruh daripada semua agensi masih perlu dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Simposium Kesejahteraan dan Transformasi Rakyat (KESTRA) 2026, inisiatif Pelan Pembangunan SMJ 2.0, di sini pada Selasa.

Menurut Hajiji , kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar melibatkan 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) yang dikenal pasti menerusi Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2023 membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi.
“Pencapaian yang direkodkan pada 31 Julai 2024 itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh kurang setahun, melibatkan 94,315 ahli isi rumah dan keseluruhan 116,825 individu berkaitan.
“Bagaimanapun, saya mengingatkan bahawa pencapaian sifar miskin tegar tidak bermakna semua keluarga terbabit secara automatik telah keluar daripada kemiskinan kerana kedudukan sosioekonomi mereka boleh berubah akibat kehilangan pekerjaan, penyakit, pertambahan tanggungan dan bencana,” tegasnya.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan memperkukuh penggunaan data eKasih dan Pangkalan Data Negeri Sabah (PADANS) sebagai rujukan rasmi untuk mengenal pasti pertindihan bantuan, kekosongan liputan serta keperluan tindakan susulan setiap isi rumah.
“Saya turut berharap Program MySMJ Profiling yang menempatkan pegawai di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengesahkan maklumat kemiskinan di lapangan, termasuk latar belakang keluarga, kemampuan bekerja dan keperluan latihan.
Jelasnya, Sebanyak 54 agensi pemberi bantuan daripada kerajaan negeri, Persekutuan dan pemain industri kini terbabit dalam 134 intervensi menerusi lima teras pembasmian kemiskinan, merangkumi perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan dan kewangan serta keusahawanan dan latihan.
“Namun, ingin saya tekankan disini jumlah program dan peruntukan yang disalurkan tidak boleh dijadikan satu-satunya ukuran kejayaan tanpa bukti bahawa rakyat benar-benar berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Jika kita hanya melaporkan bilangan bantuan, bilangan majlis penyerahan atau jumlah peruntukan, kita belum menjawab persoalan yang lebih besar, iaitu berapa ramai yang betul-betul telah keluar daripada kitaran kemiskinan,” tegasnya.
Katanya lagi, rakyat tidak hidup dengan statistik program, sebaliknya mereka memerlukan pendapatan, makanan, tempat tinggal, pendidikan dan harapan untuk masa depan.
“Keperluan membangunkan kerangka penilaian kemiskinan negeri yang mengambil kira realiti dan keperluan rakyat Sabah juga perlu diberikan perhatian, termasuk memanfaatkan 13 indikator tambahan miskin tegar Sabah yang dipersetujui pada 2023.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kemiskinan mutlak Sabah menurun daripada 19.7 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus pada 2024, manakala kemiskinan tegar berkurangan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus.
Bagaimanapun, tambahnya, Sabah masih merekodkan kadar kemiskinan tertinggi berbanding negeri lain dan melebihi paras nasional, sekali gus memerlukan pendekatan lebih bersasar bagi menangani punca kemiskinan setiap keluarga.
“Saya mahu semua dapatan dan cadangan KESTRA 2026 dirumuskan sebagai pelan tindakan praktikal untuk pertimbangan Kerajaan Negeri sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi memastikan tindakan susulan yang jelas,” terangnya.



