
SANDAKAN – Insiden pergaduhan di Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai di sini, pada Isnin dipercayai berpunca daripada konflik kekeluargaan dan bukannya perebutan lot perniagaan seperti yang didakwa segelintir pihak.
Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur dan Buah Sabah (PERSABAH), Suzailah Jeffry berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, konflik berkenaan sudah bermula di luar kawasan pasar borong sebelum dibawa ke lokasi berkenaan.
Beliau berkata, keadaan itu kemudian mencetuskan insiden pergaduhan yang berlaku di pasar berkenaan pada 16 November lalu.
“Pergaduhan tersebut tidak berpunca daripada perebutan lot perniagaan mahupun spekulasi lain yang tersebar dalam kalangan orang ramai.
“Masalah itu sebenarnya berkaitan kekeluargaan yang sudah bermula di luar kawasan pasar borong terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat atau spekulasi yang belum disahkan kerana dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan peniaga serta pengunjung.
Menurutnya, kes berkenaan juga sudah menjadi kes polis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
Beliau turut berharap orang ramai merujuk kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat tepat serta memberi ruang supaya keadaan di pasar borong berkenaan kembali tenang.



