
KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia melabuhkan tirai dengan aktiviti santai bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila kedua-dua pemimpin berjalan kaki menyusuri Sungai Klang di kawasan River of Life sebelum melalui Pasar Seni hingga ke sekitar Petaling Street.
Anwar berkata, perjalanan itu dilakukan selepas mereka menghadiri acara di Bangunan Sultan Abdul Samad, sekali gus memberi peluang kepada Macron melihat sendiri suasana kehidupan masyarakat serta kepelbagaian seni dan budaya di tengah-tengah ibu negara.
“Kami sempat bertegur sapa dengan orang ramai dan melihat sendiri ragam seni dan budaya yang menjadikan kawasan ini antara tarikan pelancong di tengah-tengah Kuala Lumpur.
“Langkah kami di tengah kota Kuala Lumpur menjadi penutup lawatan rasmi Presiden Macron ke Malaysia. Perjalanan saya bersambung ke Filipina untuk menghadiri beberapa acara terakhir persidangan ASEAN,” katanya.

Terdahulu, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, meraikan Macron dan isterinya, Brigitte Macron, dalam satu majlis makan tengah hari.
Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Permata Seni, Mind’ance Kids dan SRFA Arts and Cultural.
Turut menghiburkan tetamu ialah penyanyi Anuar Zain dan Ernie Zakri, selain persembahan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).
Anwar turut menyifatkan pertemuan dengan Macron sebagai peluang untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara, khususnya menerusi pertukaran budaya dan kerjasama memelihara warisan.
“Saya menghargai kesempatan bertemu Presiden Macron hari ini dan mengeratkan lagi persahabatan kami. Semoga hubungan Malaysia dan Perancis terus berkembang, khususnya melalui pertukaran budaya dan kerjasama memelihara warisan kedua-dua negara.
“Semoga hubungan Malaysia dan Perancis terus berkembang, khususnya melalui pertukaran budaya dan kerjasama memelihara warisan kedua-dua negara.
“Merci pour cette visite, mon ami. À bientôt!” katanya.



