
SERIAN – Penduduk tiga kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat bakal menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik menerusi pelaksanaan Projek Membina Baharu Jalan Borneo Empurau/Kampung Tarat bernilai RM7.6 juta.
Penyandang kerusi DUN Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan dan kerja menaik taraf jalan sepanjang 2.008 kilometer bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, projek itu bakal memberikan manfaat kepada penduduk Kampung Tarat Sibala, Kampung Tarat Melawi dan Kampung Tarat Mawang yang sebelum ini bergantung kepada laluan sedia ada yang sempit.
“Pembinaan jalan berkenaan juga akan menyediakan laluan alternatif kepada penduduk, sekali gus memudahkan pergerakan harian dan akses ke kawasan sekitar.
“Projek terbabit di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bersepadu Greater Kuching (GKCDA) itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Projek Membina Baharu Jalan Borneo Empurau/Kampung Tarat di Dewan Kampung Tarat Melawi, pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa projek berkenaan telah diluluskan lebih setahun lalu, namun pelaksanaannya memerlukan penyelesaian beberapa urusan berkaitan tanah.
“Ini bukan projek baharu, ia memang sudah diluluskan. Pada hari ini kita hanya memformalkan pelaksanaannya selepas proses berkaitan tanah diselesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, skop pembangunan merangkumi pembinaan jalan berturap, menaik taraf jalan sedia ada serta penyediaan sistem saliran dan pembetung.
Projek berkenaan turut melibatkan pemasangan kelengkapan keselamatan jalan raya, penambahbaikan persimpangan utama dan pengalihan utiliti sedia ada.
Selain meningkatkan jaringan perhubungan penduduk, pembinaan jalan itu juga dijangka memudahkan akses ke Borneo Empurau Farm & Resort serta menyokong potensi kegiatan rekreasi dan ekonomi setempat.
Projek yang mempunyai tempoh kontrak selama 12 bulan itu kini dijadualkan siap pada 30 Ogos 2027 berdasarkan tarikh siap yang disemak.
Pada majlis sama, JKR turut menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan.



