
SUNGAI UDANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini mencapai 95 peratus daripada keseluruhan 12,561 pemilih berdaftar.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, seramai 5,286 anggota tentera dan polis atau 53.225 peratus sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat jam 10.35 pagi.
“Alhamdulillah, kita sudah memulakan proses pengundian awal di 31 pusat mengundi di seluruh Melaka yang membabitkan 50 saluran.
“Kita berharap trend ini akan berterusan sehingga petang nanti dan kadar keluar mengundi boleh mencapai 95 peratus,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di pusat mengundi awal Sekolah Menengah Kebangsaan Terendak, di sini, hari ini.
Ramlan berkata, daripada keseluruhan 12,561 pemilih berdaftar, seramai 9,769 adalah anggota tentera, manakala 2,792 lagi anggota polis.
Beliau berkata, SPR berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian setakat ini.
Katanya, 19 pusat pengundian dijadualkan ditutup pada jam 12 tengah hari, manakala tiga lagi pada jam 2 petang dan sembilan pusat selebihnya pada jam 5 petang.
Dalam perkembangan sama, Ramlan berkata, sebanyak 237 kesalahan pilihan raya dilaporkan kepada pasukan pemantau SPR sehingga malam tadi.
Beliau berkata, kesalahan itu membabitkan pelanggaran peraturan berkaitan kempen, pemasangan bendera dan bahan kempen yang dikategorikan sebagai kesalahan kecil di bawah peraturan pilihan raya.
“Setakat ini, tiada insiden besar dilaporkan sepanjang tempoh kempen. Kita masih mempunyai beberapa hari lagi dan berharap keadaan ini akan berterusan.
“Saya menyeru semua pihak supaya berkempen secara berhemah dan tertib serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan gangguan,” katanya.


