
JASIN – Dakwaan kononnya kaum Cina mahu mengambil alih Malaysia tidak berasas, sebaliknya realiti demografi negara menunjukkan jumlah masyarakat Melayu terus meningkat berbanding kaum itu, kata Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, masyarakat Melayu secara purata mempunyai empat hingga lima anak, manakala masyarakat Cina kebanyakannya hanya mempunyai seorang atau dua anak berikutan kecenderungan berkahwin lewat.
“Orang Cina nak ambil alih Malaysia, sedangkan pengundi Cina semakin berkurangan kerana masyarakat mereka sekarang berkahwin lewat dan mempunyai seorang atau dua anak.
“Orang Melayu pula secara purata mempunyai empat atau lima anak. Tetapi isu itu tetap dimainkan dan orang ramai percaya kerana mereka tidak membuat semakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Ceramah Kelompok DUN Merlimau di Taman Panglima Pak, di sini, Isnin.
Mohamad berkata, isu ketuanan Melayu juga dilihat cuba dimainkan semula dalam kempen pilihan raya dengan harapan meraih sokongan berdasarkan majoriti pengundi Melayu.
Bagaimanapun, beliau yakin generasi muda akan lebih terbuka menilai isu berkenaan dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen perkauman.
Katanya, pendekatan politik sepatutnya memberi penekanan kepada rekod perkhidmatan serta usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukannya membangkitkan ketegangan antara kaum.
