BUKIT KATIL – Pakatan Harapan (PH) akan memperhebat usaha memberi penerangan kepada pengundi bagi memastikan aspirasi, hala tuju gabungan parti politik itu difahami sebelum mereka membuat keputusan pada hari pengundian.
Calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Datuk Seri Adly Zahari berkata, tumpuan kempen selepas ini bukan sahaja menjelaskan isu semasa, malah memastikan pengundi memahami perancangan yang mahu dibawa parti sekiranya terus diberikan mandat mentadbir kerajaan.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi membolehkan pengundi menilai tawaran PH secara menyeluruh, sekali gus membuat pilihan berdasarkan hala tuju dan keupayaan parti, bukan semata-mata sentimen sepanjang kempen.
“Jadi, dalam tempoh kempen, di samping meraih undi, Pakatan Harapan memang kita arahkan semua calon supaya cuba menyelesaikan masalah-masalah rakyat itu.
“Kalau boleh diselesaikan dalam tempoh masa pendek, selesaikan. Kalau melibatkan jangka masa panjang, salurkan kepada pihak yang berwajib,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Majlis Himpunan Semarak Tani @ Jualan Agro Madani Mega Melaka 2026, pada Sabtu yang turut dihadiri oleh Menteti Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam perkembangan lain, Adly yang juga Pengerusi PH Melaka mengakui masih terdapat calon PH yang perlu meningkatkan keupayaan menggunakan media sosial bagi memastikan mesej kempen sampai kepada pengundi.
Katanya, prestasi komunikasi digital setiap calon dipantau dari semasa ke semasa kerana terdapat calon yang sudah mempunyai pengaruh kukuh, manakala sebahagian lagi masih memerlukan usaha untuk meningkatkan pengenalan diri dalam kalangan pengundi.
“Memang ada sebahagian calon kita itu perlu ditingkatkan lagi peranan media sosial. Kadang-kadang mereka punya ada banyak bahan, tetapi dari segi komunikasi dengan bagaimana mereka tingkatkan upaya di media sosial itu memang kita pantau dari masa ke semasa.
“Kita cuba upayakan supaya semua calon kita dikenali oleh pengundi di kawasan mereka bertanding dan pada 14 haribulan itu mereka boleh buat keputusan calon mana yang mereka akan pilih,” katanya
Sementara itu, Adly menghargai pengorbanan pengundi yang menetap di luar negara pulang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi suntikan semangat kepadanya untuk mempertahankan sokongan di DUN Bukit Katil.
Menurutnya, sokongan itu cukup dihargai kerana kebiasaannya pilihan raya negeri tidak menyaksikan kepulangan pengundi dari luar negara dalam jumlah yang sama seperti pilihan raya umum.
“Saya tengok memang ramai pengundi kita, anak bekerja di luar dan mereka beri jaminan keseluruhannya agak baik. Pengundi saya daripada New Zealand pun ada yang balik.
“Saya amat hargai kerana biasanya pilihan raya negeri susah kita nak jumpa pengundi-pengundi luar negara ini balik, kecuali pilihan raya umum,” katanya.

