
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM91.78 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu membabitkan 32,052 individu dan majikan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM50.04 juta dikutip daripada 2,459 majikan, manakala RM41.74 juta lagi membabitkan 29,593 pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurutnya, kompaun terhadap majikan menyumbang 54.5 peratus daripada keseluruhan kutipan, sekali gus mencerminkan tindakan penguatkuasaan yang turut memberi tumpuan kepada pihak yang menggaji pekerja asing tanpa mematuhi undang-undang.
“Penguatkuasaan imigresen tidak seharusnya hanya tertumpu kepada tindakan terhadap PATI, tetapi juga perlu membabitkan majikan yang menggaji pekerja asing tanpa mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, setiap majikan bertanggungjawab memastikan pekerja asing yang diambil bekerja mempunyai dokumen perjalanan dan permit sah serta memenuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, tindakan terhadap majikan juga penting bagi memastikan pihak yang mengambil kesempatan daripada penggajian warga asing secara tidak sah tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Statistik ini memberikan gambaran mengenai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan yang dilaksanakan JIM berdasarkan tanggungjawab dan kuasa yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan kutipan kompaun bukan satu-satunya ukuran keberkesanan penguatkuasaan kerana usaha menangani isu PATI turut memerlukan operasi, pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan yang disyaki melanggar undang-undang imigresen kepada pihak berkuasa tanpa mengambil tindakan sendiri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Imigresen dan seluruh warga JIM atas komitmen serta usaha berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan.



