
IPOH – Semangat patriotisme dan persefahaman dalam kalangan rakyat perlu terus diperkukuh bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara kekal terpelihara, sekali gus menjamin kelangsungan perpaduan untuk generasi akan datang.
Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Bahagian Pengurusan, Kafrawi Ridzuan Tarmizi berkata, usaha menyemai semangat kenegaraan tidak seharusnya terbatas kepada penganjuran majlis atau perhimpunan sosial semata-mata
Sebaliknya, menurut Kafrawi Ridzuan, ia perlu dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai tanggungjawab bersama dalam mempertahankan prinsip serta kepentingan negara.
“Selepas lebih tujuh dekad Malaysia menikmati keamanan dan kestabilan, setiap rakyat perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan keharmonian yang dikecapi terus dipelihara.
“Perkara paling utama yang perlu diberi perhatian ialah membina persefahaman antara masyarakat, khususnya dalam mendukung prinsip negara serta menghayati tanggungjawab masing-masing sebagai rakyat Malaysia.
“Matlamat membentuk sebuah negara yang bersatu padu tidak akan tercapai tanpa kesepakatan dan persefahaman, selain kesediaan setiap lapisan masyarakat untuk mengutamakan kepentingan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Satelit Khas: Kenduri Rakyat 2026 Parlimen Tambun di Dewan Komuniti Klebang Restu, Chemor, pada Sabtu.

Program anjuran JKOM Zon Tengah itu turut dihadiri Pengarah JKOM Zon Tengah, Noorisah Hakim; Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Shamsul Kamar Ani serta lebih 400 pengunjung dari kawasan sekitar.
Mengulas lanjut, Kafrawi berkata, mesej utama yang perlu dihayati menerusi program seumpama itu ialah kepentingan memupuk semangat kenegaraan dengan menyedari bahawa setiap rakyat merupakan sebahagian daripada sebuah negara yang sama, tanpa mengira latar belakang.

Jelasnya, semangat kebersamaan, persefahaman dan kesatuan perlu terus dijadikan pegangan dalam kehidupan bermasyarakat bagi memastikan Malaysia kekal stabil dan harmoni, selain terus berada pada landasan yang tepat demi menjamin masa depan negara.



