
CRISTIANO Ronaldo mengumumkan hasrat untuk bersara daripada skuad kebangsaan Portugal menerusi hantaran di media sosial, hari ini, sekali gus menamatkan karier antarabangsa yang dianggap antara paling gemilang dalam sejarah bola sepak.
Penyerang berusia 41 tahun itu mengesahkan dia akan menyerahkan kembali jersi nombor tujuh yang sinonim dengannya selepas tamat rehat antarabangsa November ini.
Sepanjang 23 tahun menyarung jersi Portugal, Ronaldo mengetuai pasukan itu meraih trofi utama pertama negara tersebut menerusi kejayaan Euro 2016, selain membantu Portugal menjuarai Liga Negara-Negara UEFA pada 2019 dan 2025.
“Ini bukan keputusan mudah kerana ada keputusan yang tidak dibuat hanya berdasarkan fikiran, tetapi juga dengan hati.
“Jika saya pernah membuat anda gembira, jika salah satu gol saya pernah membuat anda memeluk seseorang, melupakan kerisauan atau berasa bangga dengan negara kita, maka semuanya berbaloi,” katanya.
Ronaldo turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakyat Portugal serta rakan sepasukan, jurulatih dan kakitangan yang bersamanya sepanjang karier antarabangsa.
“Portugal akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya,” katanya.
Sepanjang karier antarabangsa, Ronaldo merekodkan 234 penampilan bersama Portugal dengan 146 gol, sekali gus memegang rekod penampilan dan jaringan terbanyak di pentas antarabangsa.


