
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik sepenuhnya.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, permohonan penganjuran acara yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) masih dalam semakan.
Ketegasan itu susulan penularan tangkap layar memaparkan pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai rakan bir rasmi acara berkenaan.
KBS memandang serius perkara itu dan menegaskan pendirian tersebut selaras dengan Kod Sukan Selamat Edisi Ketiga 2024 yang melarang syarikat berkaitan tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol daripada menaja, mempromosi atau mengiklankan sebarang aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS serta agensinya.
“KBS menetapkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan tajaan berkenaan perlu dikeluarkan daripada saluran rasmi acara serta lokasi pertandingan sebelum sebarang kelulusan boleh dipertimbangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, KBS turut mengingatkan bahawa mengikut Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], mana-mana syarikat perlu dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebelum terlibat dalam aktiviti sukan.
Kegagalan mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
KBS menegaskan ketetapan itu terpakai kepada semua penganjur tanpa sebarang pengecualian bagi memastikan persekitaran sukan yang selamat, sihat dan bebas daripada pengaruh negatif untuk semua peserta.

