
BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berdepan cabaran besar untuk mengetengahkan calon Perdana Menteri yang mampu menandingi kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya dari segi hubungan antarabangsa, karisma dan prestasi ekonomi.
Pengakuan itu disuarakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dikendalikan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
“Sudah tentu saya tak boleh nafikan bahawa kita berdepan cabaran untuk memastikan calon PN, BN ini setanding PMX.
“Kita kena akui melihat Perdana Menteri yang menjiwai anak-anak muda, pergi tengok MotoGP, duduk atas rumput saja, itu satu gimik atau optik di hadapan kamera, tapi saya yakin, akhirnya rakyat mahu tahu apa yang mereka akan dapat,” katanya dalam wawancara yang disiarkan di Youtube pada Khamis.

Ahmad Fadhli berkata, rakyat sebaliknya lebih menilai kesan pentadbiran kerajaan terhadap kehidupan seharian, terutama ketika berdepan peningkatan kos sara hidup dan isu bekalan barangan keperluan.
Menurutnya, walaupun kerajaan berjaya mempromosikan pencapaian ekonomi dan pertumbuhan ketika pentadbiran Anwar, rakyat kini berdepan realiti kenaikan harga barangan termasuk telur serta isu bekalan ayam.
Sementara itu, Shahril berpandangan Anwar mempunyai kelebihan besar dari sudut hubungan diplomatik dan pengaruh antarabangsa yang sukar ditandingi calon daripada BN mahupun PN.
Beliau berkata, kelebihan itu bukan sekadar bergantung kepada kefasihan berbahasa Inggeris, sebaliknya turut melibatkan hubungan baik Anwar dengan pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri India, Narendra Modi.
“Cara politik PMX sangat ramah, boleh tepuk-tepuk belakang, boleh gurau, cara dia bergurau dengan Prabowo, berborak dan sebagainya dengan senyuman dia yang luas tu, memberi satu mesej seolah-olah ‘tidakkah anda sebagai rakyat Malaysia berbangga dengan Perdana Menteri seperti ini?’
“Mesej seterusnya ialah, apa alternatif yang ada? Boleh berikan ‘feeling, vibe yang sama? Kalau ikut Gen Z sekarang ini,” soalnya kembali.
Tambahnya lagi, selain hubungan diplomatik, prestasi ekonomi negara yang dikaitkan dengan kepimpinan Anwar turut menjadi kelebihan yang perlu dijawab oleh pihak lawan.
Beliau berkata, setakat ini masih belum kelihatan jawapan tuntas daripada BN dan PN untuk meyakinkan rakyat bahawa pertumbuhan ekonomi serta kemasukan pelaburan asing bukan hanya bergantung kepada seorang pemimpin, sebaliknya hasil kerjasama seluruh jentera kerajaan.
Menjawab persoalan itu, Fadhli berkata, PN akan terus menonjolkan calon-calon yang sekurang-kurangnya mampu menghampiri prestasi Anwar.
“Saya akur bahawa cabaran yang ditampilkan PMX itu sebagai tokoh menjadikan cabaran sangat besar, sebab itu Perikatan Nasional hari ini kita kena ke depanlah calon yang boleh setanding dengan PMX.
“Dan kita belum bincang calon Perdana Menteri dari BN atau PN tapi ‘obviously’ BN mahu Perdana Menteri daripada mereka lah,” katanya.



