
KUBU UMNO di Melaka bukan kawasan yang kebal dan masih boleh dirobohkan serta ditawan, ibarat perumpamaan ‘Siam lawan Kedah’, dakwa bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin.
Beliau berkata, menganggap UMNO mempunyai kekuatan kukuh di Melaka tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
“Maknanya kubu UMNO di Melaka ni sebenarnya macam Siam lawan Kedah lah. Boleh dirobohkan, boleh ditawan dan sebagainya,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, pada Selasa.
Abd Zarin berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018, BN hanya memenangi 13 kerusi di Melaka sebelum kembali mencatat kemenangan pada PRN 2021 dengan memperoleh 18 kerusi, iaitu pertambahan lima kerusi.
Bagaimanapun, katanya, kemenangan itu tidak bermakna UMNO mempunyai sokongan tetap kerana keputusan PRU15 pada 2022 memperlihatkan perubahan ketara apabila parti itu tewas di lima kawasan majoriti Melayu.
“Kalau kita ukur kepada pilihan raya tahun 2022, selepas UMNO menang di Melaka dan boleh menubuhkan kerajaan, lima kawasan Melayu semuanya UMNO kalah.
“Jadi menunjukkan bahawa mereka tidak konsisten kepada setahun sebelumnya mereka mengundi BN sehingga BN boleh menubuhkan kerajaan di Melaka. Tapi pada pilihan raya umum tahun 2022 mereka menolak UMNO dan memilih parti-parti lain seperti Amanah menang di Alor Gajah, Pas di Jasin dan menang di Ayer Keroh dan sebagainya,” katanya.
Abd Zarin berkata, kewujudan pengundi nomad yang berpindah-randah dan mengubah sokongan daripada satu parti kepada parti lain turut mempengaruhi keputusan pilihan raya di negeri itu.
Katanya, keadaan berkenaan menunjukkan tiada asas untuk menganggap UMNO mempunyai kekuatan yang begitu kukuh sehingga mampu mempertahankan semua kawasan yang dianggap sebagai kubunya.
“Ini menunjukkan bahawa tak ada paksi yang boleh dikaitkan dengan kekuatan UMNO di Melaka ini begitu atau menjadi kukuh,” katanya.
