CORAK sokongan pengundi pembangkang di Paya Rumput dan kedudukan pengundi berketurunan Jawa di Ayer Molek antara faktor yang boleh mempengaruhi persaingan Pakatan Harapan (PH) di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin berpandangan, penyatuan undi pembangkang di Paya Rumput boleh memberikan kelebihan kepada calon PH, Datuk Azman Abidin, dalam persaingan tiga penjuru menentang Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Menurutnya, keputusan PRN Melaka 2021 menunjukkan calon PKR memperoleh hampir 6,000 undi, manakala kelompok pembangkang lain mengumpulkan kira-kira 4,000 undi.
Beliau berkata, jika sokongan kedua-dua kelompok itu dapat dikekalkan dan disatukan, ia boleh mengubah kedudukan persaingan di kawasan berkenaan.
“Saya tidak nampak calon Pas yang bertanding atas tiket PN boleh menang di Paya Rumput. Kalau kita lihat keputusan sebelum ini, calon PKR mendapat hampir 6,000 undi, manakala kelompok pembangkang lain pula hampir 4,000 undi. Kalau mereka bergabung, tentulah Pas akan kalah,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, pada Selasa.
Abd Zarin turut menganggarkan terdapat kira-kira 8,000 pengundi pembangkang di Paya Rumput, selain berpandangan sokongan terhadap PKR masih mempunyai asas yang boleh dipertahankan.
Beliau berkata, kedudukan Azman sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri juga membawa imej kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden PH dalam pertandingan di kawasan itu.
Mengulas latar belakang politik Paya Rumput, beliau berkata, kawasan berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai Tanjung Minyak mempunyai sejarah sokongan terhadap Pas, termasuk kemenangan calon parti itu pada 1974.
Bagaimanapun, menurutnya, sejarah tersebut perlu dilihat dalam konteks pola pengundian semasa dan perubahan sokongan pengundi.
Sementara itu, di Ayer Molek, Abd Zarin melihat faktor pengundi berketurunan Jawa sebagai antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam menilai persaingan antara calon BN, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, dan calon PH, Muhammad Hakimin Mokhtar.
Beliau menganggarkan terdapat kira-kira 3,000 pengundi berketurunan Jawa di kawasan itu dan berpandangan perubahan calon BN berpotensi menimbulkan reaksi dalam kalangan sebahagian pengundi berkenaan.
“Ada lebih kurang 3,000 pengundi Jawa. Calon sebelum ini berketurunan Jawa, tetapi kali ini calon itu digugurkan. Jadi, tidak mustahil ada pengundi yang membuat undi protes,” katanya.
Menurut Abd Zarin, faktor itu perlu diberi perhatian kerana sebahagian pengundi berkenaan mungkin mempunyai hubungan dengan UMNO, termasuk sebagai ahli parti atau pemimpin di peringkat cawangan.
Beliau turut membangkitkan soal hubungan calon BN dengan masyarakat setempat, yang menurut pandangannya boleh mempengaruhi penerimaan pengundi.
Abd Zarin turut mengambil kira perpindahan calon BN daripada kawasan Bukit Katil ke Ayer Molek sebagai satu lagi faktor yang perlu dinilai, kerana calon berkenaan perlu membina penerimaan dalam kalangan pengundi di kawasan baharu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penilaiannya terhadap kedua-dua kerusi itu berdasarkan pemerhatian terhadap pola pengundian terdahulu, latar belakang calon dan dinamika sokongan masyarakat setempat.
Di Ayer Molek, pertandingan satu lawan satu menyaksikan Mohd Ridhwan Mohd Ali mewakili BN-UMNO, manakala Muhammad Hakimin Mokhtar bertanding bagi PH-PKR.

