
KUCHING – Penjawat awam digesa menghapuskan jurang pelaksanaan bagi memastikan dasar dan projek kerajaan yang telah diluluskan tidak mengambil masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun untuk dilaksanakan.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nadzri Mohd Hassan berkata, keutamaan sektor awam ketika ini adalah mempercepat pelaksanaan projek yang telah diluluskan, selain mempermudah urusan rakyat.
Menurutnya, setiap keputusan perlu disusuli tindakan secara berterusan supaya dasar yang dirangka dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan di lapangan.
“Kita tidak boleh lagi membiarkan idea serta polisi yang telah diluluskan mengambil masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, untuk diterjemahkan di lapangan.
“Keutamaan kita sekarang adalah menyegerakan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak dan Anugerah SCSICA 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), dpada Rabu.
Ahmad Nadzri berkata, penjawat awam juga perlu mengikis mentaliti menunggu dan menggantikannya dengan budaya kerja yang lebih cekap serta berorientasikan penyelesaian.
Menurutnya, pemodenan perkhidmatan awam bukan sekadar menukar borang fizikal kepada bentuk digital, sebaliknya memerlukan perubahan pemikiran dan budaya kerja.
Beliau turut menekankan kepentingan mengoptimumkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkemas proses kerja serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Katanya, ketua jabatan perlu memberikan ruang kepada kakitangan untuk mencuba idea baharu, di samping menggalakkan inovasi dan penambahbaikan secara berterusan.
Dalam pada itu, Ahmad Nadzri berkata, kerjasama antara perkhidmatan awam Persekutuan dengan Sarawak penting bagi mempercepat penyelarasan projek pembangunan yang memerlukan penglibatan kedua-dua pihak.
Antara projek yang memerlukan penyelarasan berkenaan ialah menaik taraf sekolah daif, membaiki klinik luar bandar, menyediakan akses bekalan air dan elektrik serta memantau pembinaan jaringan lebuh raya utama.
Menurutnya, kelulusan teknikal yang lebih pantas di peringkat Persekutuan, disokong pengurusan tanah dan logistik yang cekap di peringkat negeri, dapat memendekkan proses pentadbiran serta menjimatkan kos.
Beliau turut menyeru penjawat awam supaya memperkukuh integriti, menguasai teknologi digital dan mengutamakan keperluan rakyat dalam setiap urusan perkhidmatan.


