Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur grid dan mempercepatkan usaha pemodenan rangkaian bagi mengukuhkan sistem bekalan elektrik negara, meningkatkan integrasi tenaga boleh baharu (TBB) serta menampung pertumbuhan permintaan pada masa hadapan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, perancangan awal, pelaksanaan projek lebih pantas serta kerjasama erat antara pihak berkepentingan adalah kunci untuk membangunkan grid nasional lebih pintar, fleksibel dan berdaya tahan.
“TNB membuat pelaburan lebih awal daripada permintaan, sambil mengimbangi keperluan untuk bekalan elektrik yang mampu dibayar, mampan dan terjamin,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi panel ‘The Grid of Tomorrow‘ sempena Singapore International Energy Week 2026 di Singapura, baru-baru ini.
Syarikat utiliti nasional yang membekalkan elektrik kepada kira-kira 11 juta pelanggan itu memperuntukkan sekitar RM43 bilion bagi pelaburan rangkaian di bawah Tempoh Kawal Selia 4 bagi tahun 2025 hingga 2027.
Menurut beliau, pelaburan berkenaan akan menyokong pembangunan infrastruktur kritikal termasuk National Grid Backbone 500 kilovolt yang disasarkan siap menjelang 2030, serta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong berkapasiti 100 megawatt/400 megawatt-jam di Terengganu.
National Grid Backbone mula dibangunkan pada Ogos 2026 membabitkan sistem penghantaran sepanjang kira-kira 500 kilometer yang menghubungkan lokasi-lokasi strategik di sepanjang pantai timur Semenanjung.
Apabila siap kelak, ia bakal menjadi sistem penghantaran 500kV terpanjang di negara ini, sekali gus memperkukuh kapasiti, fleksibiliti dan kebolehpercayaan grid nasional.
Sementara itu, BESS Santong yang mula beroperasi pada April 2026 merupakan sistem penyimpanan tenaga bateri bersambung grid yang pertama di Malaysia.
Terletak di Dungun, Terengganu, sistem berkenaan mampu membekalkan kuasa sebanyak 100 MW untuk tempoh sehingga empat jam, sekali gus memberikan fleksibiliti tambahan dalam pengurusan bekalan elektrik dan menyokong integrasi sumber TBB.


