default
PULAU GADONG – Memperkasa sektor pelancongan bagi merancakkan ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan menjadi antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, Klebang mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan sebagai destinasi pelancongan, namun kelebihan itu perlu dimanfaatkan dengan lebih menyeluruh supaya limpahan ekonominya turut dinikmati masyarakat setempat.
Menurutnya, kawasan sekitar Dataran Klebang dan Pantai Klebang antara lokasi yang memerlukan penambahbaikan, terutama dari segi infrastruktur dan pembangunan kemudahan bagi meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan.
“Di sekitar Dataran Klebang, di sekitar Pantai Klebang sendiri, kita nampak banyak peluang pekerjaan yang kita boleh bukakan terutamanya kepada golongan belia. Sebabnya Klebang ni semua orang tahu, Klebang merupakan destinasi pelancongan.
“Jadi mungkin kita boleh naik taraf ke, kita boleh daripada segi infrastruktur pembangunan dan sebagainya untuk kita buka peluang lebih ramai kepada pengundi tempatan, penduduk tempatan,” katanya ketika ditemui media di program lepak santai di Rumah Awam Pulau Gadong, pada Selasa.
Mengulas sokongan kaum cina, Farzana berkata, hubungan dengan masyarakat Cina bukan hanya dibina ketika musim pilihan raya, sebaliknya sudah terjalin sejak tahun lalu menerusi penyertaannya dalam pelbagai program komuniti.
Menurut beliau, pendekatan mendekati masyarakat berbilang kaum turut diteruskan menerusi kunjungan ke kawasan penduduk bagi memastikan setiap komuniti mendapat perhatian.
“Alhamdulillah, Nana daripada sekolah rendah Nana telah sekolah di SJKC Ying Chye Bukit Rambai dan terus sambung SMJK Tinggi Cina Melaka. Penduduk Cina, komuniti Chinese sangat-sangat positif dengan reaksi dan kehadiran Nana.
“Sebelum pilihan raya pun, tahun lepas pun Nana punya jadual dah penuh dengan komuniti Chinese, dengan jemputan untuk program Chinese New Year, program Mooncake Festival, dan sebagainya.
“Kita pun turun bukan sahaja turun padang kepada komuniti Melayu, India, kita turun juga kepada komuniti Chinese. Dan bila Nana berbahasa Mandarin tu, dia orang sangat happy lah, dia orang sangat terima kehadiran Nana,” katanya.

