KUALA LUMPUR – Seramai 282 individu ditahan dalam Op Dadu Khas yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian (JOL) dan loteri awam tanpa lesen (ENE) di seluruh negara.
Operasi selama dua hari bermula 31 Oktober hingga 1 November itu menyasarkan premis perniagaan yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu berkata, sebanyak 201 serbuan dilaksanakan sepanjang operasi berkenaan, merangkumi 108 serbuan berkaitan perjudian dalam talian dan 93 serbuan melibatkan loteri awam tanpa lesen.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan terdiri daripada 229 lelaki dan 53 wanita berusia antara 20 hingga 65 tahun.
“Daripada jumlah itu, 223 merupakan warga tempatan manakala 59 lagi warga asing, berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan dan tertakluk kepada pengesahan lanjut.
“Kesemua individu yang ditangkap direman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), pada Isnin.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dan peranti elektronik yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian haram, termasuk tablet, telefon bimbit, pencetak mudah alih serta wang tunai berjumlah RM32,149.
“Kes berkenaan disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
“Individu yang disiasat juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, membabitkan kesalahan memasuki atau tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan serta permit yang sah,” katanya.
Kumar menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, kumpulan atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan perjudian tanpa lesen.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan akan dipergiat secara tegas dan berterusan menerusi kerjasama strategik dengan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
“Malah, tindakan memutuskan bekalan elektrik di premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram turut boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
“Sehubungan itu, kita menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan perjudian haram daripada terus berleluasa,” katanya.



