
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan berhubung satu kandungan di Facebook yang disyaki mengandungi unsur jelik melampau terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kandungan berkenaan turut menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) dan individu terbabit telah dirakam percakapan di Balai Polis Sri Petaling bagi membantu siasatan.
“MCMC memandang serius penyebaran kandungan dalam talian yang disyaki mengandungi maklumat palsu atau unsur penghinaan terhadap institusi diraja, khususnya kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi berkenaan, MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit bersama satu kad SIM.
Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara bertanggungjawab serta tidak menghasilkan atau menyebarkan kandungan yang melanggar undang-undang negara.


