
KOTA KINABALU – Bidang kemahiran merupakan antara pemacu utama pembangunan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi sekali gus berupaya melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.
Isteri Ketua Menteri, Datuk Juliah Salag berkata, untuk ke arah itu Kerajaan Negeri sentiasa memberikan penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Program kemahiran KEMAS merangkumi bidang jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan yang terbukti berupaya melahirkan usahawan tempatan.
“Kemahiran yang dimiliki pada hari ini bukan sekadar sekeping sijil, tetapi merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Menurutnya, pembangunan modal insan bukan sahaja memerlukan kemudahan fizikal dan infrastruktur, malah perlu disertai pembangunan insan secara menyeluruh termasuk aspek kerohanian.
Oleh itu katanya, masyarakat perlu dilengkapi ilmu dan kemahiran serta mempunyai kekuatan rohani, akhlak mulia dan nilai-nilai murni bagi membina keluarga sejahtera serta komuniti harmoni.
“Saya berharap peserta memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk menceburi bidang keusahawanan tanpa takut memulakan perniagaan.
“Selain itu, peserta digalakkan menggunakan platform digital bagi meluaskan pasaran, di samping terus berinovasi dan kreatif dalam menghasilkan produk serta menawarkan perkhidmatan berkualiti.
“Konvokesyen berkenaan bukanlah titik akhir perjalanan menimba ilmu, sebaliknya menjadi permulaan kepada peluang lebih luas untuk peserta terus maju dan berjaya,” ujarnya.


