
KANGAR – Orang ramai di Perlis diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang pelanggaran harga barangan kawalan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali bermula hari ini hingga 10 November.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Rohaida Hassan berkata, pengguna boleh menyalurkan maklumat sekiranya mendapati peniaga menjual barangan melebihi harga maksimum ditetapkan atau gagal mempamerkan tanda harga.
“Untuk semua pengguna di luar sana, kalau ada apa-apa maklumat terhadap barangan yang disenaraikan dan harga yang kita tetapkan.
“Sama ada peniaga tidak mematuhi harga tersebut atau tidak meletakkan tanda harga, bolehlah membuat aduan kepada KPDN Perlis melalui tujuh saluran aduan awam yang telah kita tetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan SHMMP Deepavali di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Rohaida berkata, seramai 38 pegawai penguat kuasa KPDN Perlis digerakkan bagi memastikan pematuhan terhadap harga maksimum yang ditetapkan sepanjang tempoh pelaksanaan skim berkenaan.
Katanya, pemeriksaan dan pemantauan dilaksanakan secara berterusan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada peringkat pengeluaran, pemborongan sehingga peruncitan.
Sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan di bawah skim berkenaan bagi memastikan harga barangan keperluan terkawal sepanjang musim perayaan Deepavali.
Antara barangan terbabit ialah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah, kelapa biji, kelapa parut, bawang merah kecil India, bawang merah besar, ubi kentang, santan dan kacang dal Australia.
Sepanjang tempoh penguatkuasaan itu, pegawai KPDN turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar basah, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memantau tahap pematuhan peniaga.
Pelaksanaan SHMMP Deepavali itu tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang menjadi asas penguatkuasaan terhadap pelanggaran peraturan harga barangan terkawal.



