Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Keempat dibuat mulai hari ini.
Perdana Menteri berkata, pemberian bernilai RM1.1 bilion sempena sambutan Deepavali itu akan dinikmati lebih lima juta rakyat, termasuk 630,000 penerima kaum India.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah bantuan disalurkan menerusi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merekodkan peningkatan kepada RM15 bilion tahun ini.
Selain itu, katanya penyaluran STR dan SARA setakat ini sudah mencecah RM12 bilion dengan pembayaran STR Fasa 1 hingga 3 bernilai RM3.6 bilion.
“Kerajaan MADANI melipatgandakan peruntukan untuk bantuan tunai STR dan SARA kepada RM15 bilion tahun ini dan dijangka meningkat kepada RM16 bilion tahun depan, berbanding hanya RM8 bilion pada 2022 dan RM6 bilion (2018).
“Dalam menaikkan lantai sebagai tonggak Ekonomi MADANI, kerajaan komited memperkukuh kesejahteraan untuk semua, tanpa mengira bangsa,” katanya, seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Mega Bazar Deepavali di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menafikan dakwaan kerajaan meminggirkan masyarakat India di negara ini.
Katanya, selain STR dan SARA, masyarakat India turut menikmati kemudahan bantuan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) serta pembiayaan Amanah Ikhtiar (AIM).
Beliau berkata, masyarakat India turut menikmati kemudahan pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional).
“Dalam Belanjawan 2027, kerajaan memberi keutamaan kepada kemudahan nasional untuk manfaat semua rakyat, dengan memberi peruntukan terbesar bagi pendidikan RM69 bilion dan kesihatan RM48 bilion.
“Malah, peruntukan khusus disediakan untuk setiap komuniti termasuk India mengikut keperluan dan keutamaan masing-masing. Peruntukan MITRA bernilai RM100 juta setahun sejak 2008, ditingkatkan kepada RM150 juta iaitu peningkatan 50 peratus.
“Keutamaan diberikan kepada latihan kemahiran dan peluang pekerjaan anak muda India dalam bidang seperti automasi industri, teknologi dan penyelenggaraan pesawat.
“Dana pembiayaan usahawan India turut ditingkatkan melalui TEKUN dan AIM kepada RM150 juta, merangkumi RM100 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) TEKUN dan RM50 juta pembiayaan mikro AIM, yang memanfaat usahawan wanita India,” katanya.
Perdana Menteri berkata, biarpun enrolmen murid lebih sedikit secara relatif, peruntukan membaik pulih dan menyelenggara sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dinaikkan kepada RM50 juta.
Peningkatan itu, katanya, mengambil kira prasarana SJKT yang daif dan memerlukan pembaikan segera supaya murid dapat belajar dalam persekitaran selamat dan selesa.
“Kerajaan dalam Belanjawan 2027 juga bersetuju bagi pembinaan gantian penuh sekolah, terutama SJKT Ladang Pamol, Kluang, Johor, selain meluluskan RM30 juta untuk membina enam SJKT termasuk di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan SJKT Klebang, Perak, Ogos lalu.
“Peruntukan penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam berdaftar juga ditingkatkan kepada RM80 juta setahun pada 2027, berbanding RM50 juta setahun sejak 2021, yang dapat turut dimanfaatkan rumah ibadat komuniti India,” katanya.



