
PAS didakwa mengamalkan politik ‘talam dua muka’ apabila menyifatkan pendekatan Confidence and Supply Agreement (CSA) sebagai pendekatan Dajjal ketika menjadi pembangkang, sedangkan persefahaman politik seumpamanya pernah dilaksanakan ketika parti itu berada dalam kerajaan.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyamakan CSA dengan pendekatan Dajjal merupakan tuduhan politik keterlaluan dan seolah-olah menjadikan agama sebagai senjata untuk menakut-nakutkan rakyat.
Menurut beliau, Pas sepatutnya mengingati kembali sejarah penglibatan parti itu dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai bersama Pakatan Harapan (PH) pada 2021.
Beliau berkata, persefahaman berkenaan yang disifatkan sebagai CSA oleh pakar perundangan berlaku ketika Pas sendiri merupakan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ketika itu, menteri-menteri Pas berada dalam Kabinet, manakala Tan Sri Annuar Musa menjadi saksi bagi pihak kerajaan ketika dokumen berkenaan ditandatangani.
“Abdul Hadi sendiri ketika itu merupakan Duta Khas Perdana Menteri bertaraf menteri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mahfuz berkata, dalam sistem Kabinet, setiap keputusan kerajaan membawa tanggungjawab bersama dan Pas tidak boleh menikmati kuasa ketika berada dalam kerajaan sebelum melepaskan tanggungjawab apabila menjadi pembangkang.
“Jika CSA merupakan pendekatan Dajjal, bagaimana pula dengan persefahaman politik yang dilaksanakan ketika Pas sendiri berada dalam kerajaan?
“Mengapa ketika itu Abdul Hadi tidak mengeluarkan kecaman yang sama? Mengikut logik pendirian beliau sekarang, adakah Pas juga pernah mengamalkan pendekatan Dajjal ketika berada dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri?” soalnya.
Beliau mendakwa, Pas menggunakan dua ukuran berbeza terhadap pendekatan politik yang sama iaitu menganggapnya sebagai strategi apabila dilakukan sendiri tetapi melabelkannya sebagai sesuatu yang buruk apabila dilakukan pihak lain.
Mengulas lanjut, Mahfuz turut mengingatkan Abdul Hadi supaya mengamalkan prinsip keadilan seperti yang dipetik daripada ayat kelapan Surah al-Maidah.
Katanya, prinsip keadilan bukan sekadar digunakan untuk menilai kesalahan pihak lawan sebaliknya turut menuntut seseorang pemimpin menilai tindakan serta percanggahan pendirian partinya sendiri.
“Jangan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan menyenget.
“Jangan pula menjadi seperti orang yang membawa neraca keadilan tetapi dacingnya senget apabila menimbang kesalahan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakyat lebih memerlukan penjelasan mengenai dasar dan penyelesaian berkaitan ekonomi, peluang pekerjaan, pendidikan serta masa depan negara berbanding polemik politik yang menggunakan istilah keagamaan.
Mahfuz turut menegaskan bahawa agama tidak seharusnya dijadikan alat untuk menakut-nakutkan rakyat atau menghalalkan kebencian terhadap pihak yang berbeza pandangan politik.
“Jangan terlalu sibuk mencari Dajjal di luar pagar sehingga terlupa melihat bayang-bayang sendiri di dalam rumah.
“Islam mengajar amanah dan keadilan, bukannya menggunakan agama untuk menutup percanggahan pendirian politik,” katanya.


