KLEBANG – Kehadiran wakil rakyat turun padang mendengar keluhan nelayan tidak membawa makna, sekiranya segala aduan hanya berakhir di atas meja pejabat tanpa tindakan susulan.
Itulah kekecewaan yang disuarakan golongan nelayan apabila masalah mereka didakwa sekadar menjadi ‘catatan buku’, sebelum diletakkan dalam senarai simpan dalam perhatian (KIV) sehingga nasib dan kesukaran dihadapi golongan itu terus berpanjangan.
Pemimpin Sahabat Nelayan, Musa Arib, 66, berkata tidak menafikan kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor dan Klebang pernah turun bertemu nelayan, namun keberkesanan kunjungan itu dipersoalkan apabila tiada tindakan berkesan diambil sehingga kini.
Menurut beliau, kehadiran ADUN sepatutnya disusuli tindakan konkrit, bukannya sekadar mendapatkan maklumat dan membawa pulang aduan tanpa penyelesaian yang dapat dirasai masyarakat.
“Kedua-dua ADUN memang ada datang, saya tidak nafikan. Tetapi datang hanya untuk mengambil tahu dan hanya mahu dijadikan sebagai berita.
“Sampai ke pejabat, aduan itu diletakkan di atas kertas, kemudian diletakkan di tepi dan KIV. Perkara-perkara penting seperti ini kurang diambil berat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui di Sungai Lereh, pada Selasa.
Musa berkata, wakil rakyat tidak seharusnya menjadikan kunjungan bertemu rakyat sebagai ukuran keprihatinan, sedangkan tanggungjawab sebenar mereka adalah memastikan masalah penduduk ditangani sepanjang tempoh diberikan mandat.
Katanya, kegagalan memenuhi keperluan masyarakat khususnya nelayan dan petani yang bergelut mencari pendapatan sepatutnya mendorong kepimpinan memberi ruang kepada pihak lain yang mampu membawa perubahan.

“Kalau sesuatu kerajaan atau parti yang memerintah tidak mampu menzahirkan keperluan rakyat seperti nelayan dan petani, baiklah turun dan cuba yang lain.
“Begitu juga ADUN, kalau tidak mampu memberikan sesuatu kepada rakyat di bawah kawasan seliaan, berhenti sajalah. Berilah orang yang mampu mentadbir kawasan itu supaya lebih baik,” katanya.
Musa berpandangan, tempoh lima tahun pentadbiran tidak sepatutnya disia-siakan dengan hanya mengingati rakyat apabila pilihan raya semakin hampir, sedangkan tempoh itu perlu dimanfaatkan untuk memperbaiki kehidupan penduduk.
“Jangan ketika pilihan raya sahaja sibuk hendak mengambil kira rakyat. Ketika rakyat susah sepanjang empat atau lima tahun tempoh tadbir urus, gunakanlah masa itu untuk membina masyarakat yang lebih baik.
“Sedarlah, rakyat sedang memerhati perangai kamu! Jangan kamu hebat di kerusi empuk dan lupa kami berkerusikan batas sawah dan tebing sungai,” katanya.
Musa mengharapkan kerajaan negeri yang mentadbir Melaka dapat menilai semula dasar dan peraturan yang disifatkan tidak munasabah, selain mempergiat pembangunan secara adil di setiap kawasan.
“Kami ni adalah orang-orang yang di bawah B40. Tahap kami memang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Namun, kalau tidak ada kerajaan yang benar-benar prihatin, lambat-laun kamu akan terpelanting, dan kami akan pilih kerajaan yang lebih baik daripada kamu,” katanya.


