
NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menuding jari kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, Zahid sepatutnya menjelaskan terlebih dahulu bagaimana komitmen perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) boleh melebihi peruntukan asal sehingga menyebabkan tunggakan bayaran kepada kontraktor mencecah RM1.05 bilion.
Menurutnya, penjelasan Menteri Kewangan II bahawa projek sedia ada tidak dibatalkan, sebaliknya Surat Setuju Terima (SST) baharu ditangguhkan sementara tunggakan diselesaikan, perlu diberikan perhatian.
Malah, katanya, kerajaan turut meluluskan tambahan RM500 juta bagi membantu menangani tunggakan berkenaan.
“Jadi, apa sebenarnya yang Zahid mahu rakyat percaya? Kalau orang lain menahan kita daripada menambah hutang, jangan pula kita menuduhnya menghalang kemajuan.
“Ibarat orang berbelanja melebihi kemampuan, kemudian marah kepada akauntan kerana diminta mengira baki wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, persoalan utama yang perlu dijawab ialah bagaimana komitmen perbelanjaan KKDW boleh melebihi peruntukan asal sehingga menyebabkan tunggakan kontraktor berjumlah RM1.05 bilion.
Beliau turut menyifatkan tindakan menyalahkan MOF tanpa menjelaskan persoalan pengurusan perbelanjaan sendiri sebagai satu usaha mengalihkan perhatian rakyat.
Katanya, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan sama tidak sepatutnya bertindak seolah-olah tidak mempunyai kaitan dengan pentadbiran negara apabila timbul sesuatu masalah.
“Jangan ketika mendapat kuasa, mengaku kerajaan ini milik bersama. Apabila timbul masalah, tiba-tiba mahu membasuh tangan dan menuding jari kepada rakan sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, rakyat sudah muak dengan sikap pemimpin yang mahu berkongsi kredit apabila berlaku kejayaan, tetapi saling menyalahkan apabila berdepan masalah.
Beliau menegaskan Zahid berhak mengkritik, namun kritikan itu perlu berasaskan fakta tepat dan tidak memberikan gambaran bahawa projek sedia ada telah dibatalkan sekiranya perkara tersebut tidak disokong penjelasan MOF.
Katanya, kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dijadikan modal politik untuk menutup persoalan berkaitan pengurusan peruntukan serta tanggungjawab pihak yang terlibat.
“Rakyat tidak menilai pemimpin berdasarkan siapa paling kuat menuduh, tetapi siapa paling berani menjawab.
“Kalau berani menuding jari kepada MOF, beranilah juga menjawab tentang RM1.05 bilion tunggakan KKDW,” katanya.
Mahfuz berkata, pemimpin perlu bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada rakyat dan bukannya sekadar lantang menyalahkan pihak lain.


