
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, ke India.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi antara Malaysia dan India yang ditandatangani pada 2010, selain peruntukan Akta Ekstradisi 1992.
Beliau berkata, permohonan rasmi ekstradisi daripada kerajaan India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik yang memohon pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.
“Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India.
“Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai status terkini permohonan ekstradisi Dr Zakir oleh kerajaan India, termasuk tarikh permohonan rasmi terbaharu diterima.

Pada September lalu, media melaporkan gesaan supaya kerajaan memperjelaskan kedudukan perundangan dan diplomatik berhubung permohonan ekstradisi Dr Zakir yang dikatakan dibincangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan menggesa Anwar memperincikan isu yang dibincangkan serta persefahaman yang dicapai dalam pertemuan kedua-dua pemimpin berkenaan.
Takiyuddin turut meminta penjelasan sama ada keterangan dan dokumentasi yang dikemukakan New Delhi kepada Kuala Lumpur bagi menyokong permohonan ekstradisi itu memenuhi syarat undang-undang Malaysia.
Perkara itu susulan laporan media bahawa permohonan ekstradisi Dr Zakir, yang dikehendaki pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, antara isu yang dibincangkan dalam rundingan Anwar dengan wakil negara berkenaan.
Laman berita India, New Delhi Television (NDTV), sebelum ini melaporkan Anwar mengesahkan perbincangan mengenai perkara itu berlangsung secara tertutup, dipercayai di New Delhi.


