
JASIN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Esma Eazreen Husin menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan penyalahgunaan premis dan kemudahan kerajaan negeri dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Gesaan itu dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan berhubung dakwaan penggunaan premis Jabatan Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Khaidirah Abu Zahari ketika tempoh berkempen.
Menerusi sidang media hari ini, Esma berkata, perkara itu perlu diteliti dari sudut pematuhan undang-undang, khususnya Seksyen 10(a), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] yang menyentuh kesalahan penyogokan dalam pilihan raya.
Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mempertikaikan hak rakyat untuk menerima bantuan, termasuk menjelang sambutan Deepavali, kerana pemberian bantuan adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
“Namun, kami memandang serius penglibatan calon BN dalam program itu kerana ia menimbulkan persoalan besar mengenai kemungkinan penggunaan jentera, premis dan kemudahan kerajaan untuk memberikan kelebihan kepada calon tertentu ketika pilihan raya sedang berlangsung,” katanya.
Menurutnya, sama ada perbuatan terbabit memenuhi unsur kesalahan di bawah peruntukan berkenaan atau sebaliknya, perkara itu perlu ditentukan menerusi siasatan pihak berkuasa berdasarkan bukti dan fakta.
Sehubungan itu, beliau menggesa SPR supaya tidak mengambil mudah perkara berkenaan, sebaliknya menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan bebas serta memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat.
“Kami menghormati proses undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran.
“Namun, perkara seperti ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia membabitkan keyakinan rakyat terhadap ketelusan dan integriti proses pilihan raya,” katanya.
