
SUNGAI BULOH – Kerajaan akan mempertimbangkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, selain mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir bernilai RM700 juta bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara projek yang perlu diberi keutamaan ialah kerja pelebaran sungai, pembinaan kolam takungan tambahan serta pengorekan sungai yang kontraknya sudah dimuktamadkan.
“Langkah mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan penting memandangkan terdapat kawasan yang dilanda banjir sehingga dua atau tiga kali.
“Perkara yang perlu diberi perhatian sekarang ialah bagaimana kita mahu mempercepatkan pelaksanaan projek berkenaan. Jika kerja pengorekan sungai sudah mempunyai kontrak, saya sudah minta supaya ia dipercepatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siantan, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan sudah menyediakan peruntukan RM500 juta bagi projek berkenaan, manakala nilai keseluruhan pelaksanaannya mencecah RM700 juta.
Katanya, laporan perkembangan projek itu akan diminta pada Jumaat ini bagi mengenal pasti langkah yang boleh diambil untuk mempercepatkan pelaksanaannya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan turut meneliti kemungkinan menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir, khususnya mereka yang mengalami kerosakan kediaman yang teruk akibat ditenggelami air.
“Bantuan sebelum ini sudah disalurkan, namun kerajaan akan meneliti setiap kes bagi menentukan bentuk bantuan tambahan yang bersesuaian.
“Kita akan melihat setiap kes satu per satu dan perkara ini akan diselaraskan bersama menteri besar, kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 92 rumah terjejas akibat banjir di sekitar Kampung Melayu Subang susulan hujan lebat di Lembah Klang, dengan dua mangsa dipindahkan ke PPS.



