KLEBANG – Pengumuman Kerajaan Negeri Melaka membekalkan peranti Sistem Penentududukan Sejagat (GPS) kepada nelayan berdaftar disifatkan sekadar ‘janji hanya tinggal janji’ apabila nelayan Sungai Linggi masih belum menerima kemudahan navagasi satelit itu.
Ketua Jaringan Nelayan Sungai Linggi, Zainudin Alwi, 56 berkata, sehingga kini tiada jaminan insiatif itu yang dijanjikan akan diberikan kepada semua nelayan selewat-lewatnya penghujung Oktober lalu akan diterima oleh komuniti di kawasan terbabit.
Menurut beliau, pemberian GPS itu merupakan langkah positif dalam membantu nelayan mengesan dan mengenal pasti kawasan berpotensi untuk menangkap ikan, sekali gus memudahkan kegiatan harian mereka.
“Dia sendiri (Kerajaan Negeri Melaka) yang buat pengumuman, katanya semua nelayan Melaka yang berdaftar akan diberikan GPS untuk membolehkan kami mengimbas kawasan bagi mengesan lokasi ikan.
“Tetapi sampai sekarang kawasan kami langsung belum dapat. Setakat yang saya nampak, hanya nelayan di Kuala sahaja yang mungkin sudah menerimanya,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) di Pengkalan Nelayan Sungai Lereh, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Zainudin berkata, nelayan kini hanya mampu menunggu tanpa mengetahui sama ada kemudahan yang diumumkan itu benar-benar akan disalurkan atau sekadar menjadi satu janji politik yang tidak kesampaian.

Menurut beliau, nelayan Sungai Linggi amat kecewa susulan terpaksa berdepan jurang antara pengumuman kerajaan negeri dengan pelaksanaan sebenar, sedangkan kemudahan itu dapat membantu meningkatkan kecekapan aktiviti perikanan.
“Dia kata nak bagi habis bulan 10 hari tu dia cakap, kita akan bagi serahkan GPS tapi sampai sekarang ni dah masuk bulan 11, entah tahun depan entah ada tak ada tak tahulah.
“Dah berbulan ini, ini orang kata indah khabar dari rupa dijanjilah tapi benda tak nampak juga,” katanya.
Tambahnya, nelayan Sungai Linggi kini hanya mengharapkan janji itu tidak berakhir sebagai satu lagi pengumuman gah di atas kertas, tetapi gagal dirasai oleh golongan yang sepatutnya menerima manfaatnya.


