
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Melaka supaya memberikan kepercayaan kepada calon parti itu yang menawarkan kepimpinan berintegriti, bersih dan amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, ketika negara berdepan sentimen perkauman sempit, PH memilih pendekatan merangkul kekuatan masyarakat Melayu, Cina dan India bagi membawa suara rakyat serta memikul tanggungjawab membangunkan negeri itu.
“Justeru dengan penuh rasa insaf dan rendah hati, saya memohon agar rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada pasukan HARAPAN (PH) yang menawarkan kerja keras, kepimpinan berintegriti serta pencapaian yang telah terbukti untuk membela rakyat dan memajukan negeri,” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.
Anwar turut berharap rakyat Melaka membuat pilihan dengan pertimbangan yang baik demi memastikan negeri itu terus dipimpin oleh barisan yang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT memberikan petunjuk kepada rakyat dalam menentukan pilihan serta kekuatan kepada PH untuk terus berbakti kepada masyarakat.
Seramai 21 calon PH yang bertanding pada PRN Melaka kali ini dengan 13 daripadanya adalah muka baharu.
PKR akan bertanding di sembilan kerusi dewan undangan negeri (DUN), DAP di tujuh kerusi manakala Amanah di lima kerusi dengan hari mengundi pada 14 November nanti.

