
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Program Sebarkan Salam Kota Bharu Berselawat yang berlangsung di Dataran Muhammadi, di sini, malam ini.
Tabung Haji dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, majlis yang menghimpunkan barisan ulama dan masyarakat itu akan berlangsung dari jam 6 petang hingga 11 malam, Sabtu.
“Program dianjurkan bagi menyemarakkan kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW menerusi amalan memperbanyakkan selawat, selain mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai dijemput hadir bagi mengimarahkan majlis,” menurut kenyataan tersebut.
Turut dijadual bersama dalam majlis itu ialah Profesor Adjung, Tuan Guru Syeikh Wazir Che Awang al-Makki serta beberapa tokoh ulama lain.
Perhimpunan berkenaan diharap menjadi wadah untuk masyarakat berkumpul dalam suasana penuh keinsafan dan keberkatan, di samping memperkukuh hubungan silaturahim sesama umat Islam.
