
KUALA LUMPUR – Sebanyak 56,304 kandungan memudaratkan berunsur palsu dalam talian diturunkan oleh penyedia perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 15 Oktober 2026, iaitu 86 peratus daripada keseluruhan 65,680 permohonan yang dikemukakan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dalam tempoh sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat 546 kes berkaitan kandungan palsu mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menurutnya, tindakan kawal selia dan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta 588 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
“Sebanyak 19 kes telah didakwa di mahkamah dan daripada jumlah itu, 12 kes mendapat keputusan dengan jumlah denda keseluruhan RM75,500.
“Sebanyak 34 kes dikenakan kompaun berjumlah RM1.72 juta, 74 kes dikeluarkan surat amaran dan 29 kes masih dalam siasatan, manakala 390 kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengulas proses penurunan kandungan, Nie Ching berkata MCMC terlebih dahulu menilai aduan yang diterima daripada agensi kerajaan, pihak penguat kuasa atau orang awam sebelum mengemukakan permohonan kepada penyedia platform sekiranya kandungan berkenaan disyaki melanggar undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, penyedia platform turut menjalankan penilaian secara berasingan berdasarkan undang-undang dan garis panduan komuniti masing-masing.
“Namun pihak penyedia platform juga akan membuat penilaian mereka sendiri sama ada kandungan berkenaan melanggar undang-undang atau garis panduan komuniti mereka.
“Disebabkan itu, bukan semua permohonan daripada MCMC akan diturunkan,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai langkah memperketat hukuman susulan penularan berita palsu, Nie Ching berkata kerajaan memerlukan sokongan semua Ahli Parlimen bagi membolehkan tindakan undang-undang lebih tegas diambil.
Beliau memberikan contoh kes penyuntingan gambar Buletin TV3 yang memaparkan maklumat palsu mengenai harga petrol RON95 dan diesel, dengan pesalah dikenakan denda oleh mahkamah.
“Saya percaya bagi memastikan rakyat tidak terpedaya dengan berita palsu, kita semua perlu menyokong kerajaan dan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan undang-undang lebih tegas,” katanya.



