
DILIHAT berang dengan satu laporan berita mengenai kewibawaannya, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau mulai melatah.
Mengulas laporan bertajuk ‘Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau’, Akmal berkata, ‘Dari dengar komen fake akaun yang tak tahu mana asalnya lebih baik dengar sendiri dari orang Merlimau’.
Dia lantas mengajak pengundi Merlimau menilai kepimpinannya ketika dilaporkan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kian melonjak.
“Kepada semua warga DUN Merlimau, komen anda tentang kepimpinan saya di Merlimau amat dialu-alukan.
“Buruk katakan buruk. Kalau baik katakan baik. Baru real suara orang Merlimau,” tulisnya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Bagaimanapun, di ruangan komen hantaran tersebut, seorang pengguna dikenali sebagai Dzul Atan dilihat mengejek Rahayu atau lebih dikenali sebagai Ayu Hamzah, dengan menulis, ‘Ayu, sleeping… Ayu, sleeping’.
Komen itu turut menerima lebih 200 reaksi ketawa setakat ini sebelum seorang lagi pengguna Facebook tampil menegur tindakan berkenaan.
Pengguna dikenali sebagai Saya Widya tidak bersetuju dengan ejekan tersebut, malah menyifatkannya sebagai perbuatan tidak matang.
“Buruknya akhlak. Dah tua-tua pun mengejek macam budak-budak. Kesian,” tulisnya.
Beliau turut menyindir sikap penyokong Akmal itu sambil membangkitkan persoalan mengenai gambar profilnya yang didakwa mempunyai kaitan dengan isu yang sedang tular.


