
KUALA PERLIS – Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) gugur ketika bertugas, namun operasi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Sungai Padang, dekat sini, malam tadi berjaya menahan 11 warga asing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, sembilan PATI warga Myanmar bersama dua tekong warga Thailand ditahan selepas berlaku aksi kejar-mengejar antara bot Maritim Malaysia dengan bot disyaki membawa PATI sehingga mengorbankan seorang anggota dan mencederakan tiga lagi.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustaffa berkata, kejadian bermula apabila sebuah bot yang disyaki membawa PATI bertindak memecut laju menuju ke pantai selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

“Berlaku aksi mengejar dan himpit-menghimpit selama hampir 15 minit sebelum insiden perlanggaran menyebabkan bot Maritim Malaysia tersasar dari laluan dan menghimpit binaan konkrit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis di sini hari ini.
Menurutnya, impak perlanggaran tersebut menyebabkan tiga daripada lima anggota yang menyertai operasi tercampak ke laut dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan dalam keadaan cedera, manakala seorang lagi dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, dua anggota yang masih berada di atas bot termasuk seorang yang cedera tetap meneruskan usaha mengejar bot PATI terbabit meskipun berdepan situasi berbahaya.
Katanya, sebanyak 10 das tembakan turut dilepaskan oleh anggota Maritim Malaysia bagi mempertahankan diri susulan tindakan agresif bot PATI sepanjang operasi berkenaan.
“Operasi mencari dan menyelamat segera dilancarkan sebelum anggota yang hilang ditemukan terapung di laut kira-kira pukul 1.30 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Anggota yang terkorban dikenal pasti sebagai Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan dari Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis yang mengalami kecederaan serius dipercayai pada bahagian kepala.
Tiga lagi anggota mengalami kecederaan termasuk patah pergelangan tangan, kesakitan pada bahagian dada serta rusuk kiri dan kanan, manakala seorang lagi terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Kesemua lima anggota terbabit dibawa ke Hospital Kangar untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut, namun Mohd Roshaimi disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, Romli berkata, kesemua 11 warga asing yang ditahan akan dikenakan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
Beliau menegaskan, Maritim Malaysia memandang serius kejadian tersebut dan akan memastikan siasatan dilengkapkan serta tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, tragedi yang meragut nyawa seorang anggota itu tidak akan melunturkan komitmen Maritim Malaysia untuk terus membanteras kemasukan PATI melalui laluan laut negara.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta penghargaan atas pengorbanan anggota berkenaan dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.



